Sunday, February 28, 2010

KARYA YANG KAYA DENGAN KIASAN

Ketika saya menulis ini, saya teringat pada Sdr. Fadli Abdullah dan berterima kasih padanya kerana menggerakkan saya untuk mencatatkan sedikit sebanyak tentang manuskrip yang sedang saya sunting ketika ini.

Manuskrip itu ialah karya terjemahan daripada bahasa Turki iaitu salah satu buku pemikiran Bediuzzaman Said Nursi (1878-1960). Bagi sesiapa yang belum mengenali beliau, Said Nursi sebagaimana yang dihuraikan dalam buku Contemporary Islam (Turner and Horkuc, 2009), ialah salah seorang “makers of contemporary Islam” di Turki.

Ketokohannya sejajar dengan nama-nama besar seperti Fethullah Gulen, Muhammad Abduh dan Muhammad Iqbal. Karya terkenal beliau ialah koleksi Risale-i Nur (Risalah Cahaya) yang merupakan ulasan dan penerangan ayat-ayat al-Quran dalam lebih daripada enam ribu halaman. Bedi├╝zzaman merupakan gelaran penghormatan kepada Syed Nursi yang bermakna "keajaiban zaman".

Saya tidak bertujuan untuk menulis latar belakang Said Nursi kerana kisah hidupnya amat banyak ditulis dan dapat ditemui dengan mudah dalam Internet. Kelompok yang mempelajari penulisan dan pemikirannya kini berkembang pesat khususnya di kalangan generasi muda, bukan sahaja di Turki tetapi di seluruh dunia termasuk Malaysia. Di Turki, buku-buku Syed Nursi ditulis semula dalam huruf Arab, bukan huruf roman dan perkembangan untuk kembali kepada tulisan Arab adalah amat menggalakkan, berbeza dengan nasib malang tulisan Jawi di negara kita yang tercinta.

Beberapa tajuk dalam versi Melayu telah diterbitkan misalnya oleh Persatuan Kebudayaan Malaysia-Turki Kuala Lumpur dan Selangor iaitu untuk judul Persoalan Ijtihad Masakini dan Koleksi Rasael An-Nur (2009); Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam UKM bagi judul daripada koleksi Risale-i-Nur. Salah satu judul terjemahan Indonesia ialah Sinar Yang Mengungkap Sang Cahaya daripada edisi Inggeris bertajuk Epitomes of Light.

KIAS IBARAT
Salah satu keunikan karya yang sedang saya sunting ini ialah kekayaannya dengan analogi atau kiasan. Saya dapat membayangkan betapa sukarnya para penterjemah mencari ayat-ayat yang sesuai dalam bahasa Melayu yang berpadanan dengan bahasa Turki.

Sdr Ozata baru dua tahun mempelajari bahasa Melayu tetapi kegigihannya telah mempercepat proses pemahaman dan kefasihan dalam bahasa yang baru baginya. Beliau dibantu oleh sdr Firdaus, anak Felda Pahang yang pernah saya temui lebih sepuluh tahun lepas di Istanbul untuk menghafaz al-Quran sambil mempelajari bahasa Turki. Kini beliau telah dewasa dan menyertai program terjemahan karya-karya Said Nursi di bawah Yayasan Hayrat.

Di bawah ini ialah tiga paragraf yang saya maksudkan daripada terjemahan Risalah Said Nursi itu yang belum disunting kecuali paragraf pertama:

Insan pada fitrahnya adalah daif sedangkan semua benda mengganggu, memberi kesan dan menyakitkan. Dia juga sangat lemah walhal musibah dan musuhnya amat banyak. Dia terlalu fakir manakala hajat-hajatnya amat tinggi. Dia malas serta tidak berupaya walhal taklif-taklif hidup amat berat. Kemanusiaan telah mengaitkannya dengan alam semesta walhal kehilangan dan perpisahan semua perkara yang disayangi dan disenangi sentiasa menyakitinya. Akal pula menunjukkan kepadanya matlamat tinggi dan buah-buah abadi walhal tangannya pendek, umurnya singkat, keupayaannya kurang dan kesabarannya sedikit.


Maka betapa pentingnya bagi roh yang ada dalam keadaan demikian bermurajaah (merujuk) lalu mengadukan keadaannya, memohon taufik dan bantuan dengan rayuan, dengan solat kepada hadrat al-Qadir Zul jalal dan al-Rahim Zul Jamal pada waktu subuh. Begitu juga betapa perlunya suatu nuktah persandaran untuk menanggung tugas-tugas yang akan ditempuh dan dipikul pada dunia siang yang menyusuli subuh itu dapat difahami dengan jelas.


Masa pada waktu zohor ialah detik-detik kesempurnaan. Kecondongan ke arah menghilang dan kematangan kerja-kerja harian. Ia merupakan waktu istirahat yang sementara daripada himpitan kesibukan iaitu waktu roh memerlukan kerehatan daripada kelalaian dan kebejatan yang terhasil daripada dunia yang fana dan kerja-kerja yang tidak kekal dan berat dari satu detik terhadirnya pemberian nikmat ilahi….

Saturday, February 6, 2010

PERSIDANGAN MBBY

Tema: LITERASI KANAK-KANAK DALAM DUNIA YANG BERUBAH.
Anda dialu-alukan menyertai pelbagai aktiviti berikut pada 22-23 Mac 2010:

1. SEMINAR LITERASI KANAK-KANAK:
Pembentangan kertas kerja tentang literasi dan hak kanak-kanak

2. BENGKEL PENULISAN BUKU KANAK-KANAK:
Bengkel dua hari untuk membimbing penulis berpotensi menghasilkan karya. Pembimbing: Dr Amidah Abdul Hamid.

3. BENGKEL ILUSTRASI BUKU KANAK-KANAK:
Bengkel dua hari untuk membimbing ilustrator berpotensi menghasilkan karya. Pembimbing: Yusof Gajah.

4. PAMERAN ILUSTRASI:
Peragaan karya-karya ilustrasi terpilih.

5. PERADUAN ILUSTRASI:
Dibuka untuk pelajar sekolah menengah berusia 13-17 tahun.

Untuk penyertaan atau pertanyaan, sila rujuk poster atau hubungi: Sdr. Rastam Jamali Zubir di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya: 03-79675551