Sunday, April 4, 2010

KATA-KATA TERINDAH DALAM BAHASA MELAYU

Yang kurik kendi, [sebenarnya "kundi'; terima kasih Siti Ezaleila kerana membetulkannya] yang indah bahasa; Tiada kata seindah bahasa.

Sejauh mana BM mempunyai kualiti keindahannya? Adakah kata-kata tertentu dalam BM dapat dianggap indah? Apakah yang menjadikan kata-kata tersebut indah?

Dalam Bahasa Inggeris, sekurang-kurangnya terdapat beberapa usaha untuk menyenaraikan kata-kata indah misalnya oleh Dr Robert Beard (100 Most Beautiful Words in English) dan sebuah British Survey yang menghasilkan 70 perkataan yang digemari. Antara kata yang tersenarai ialah: Bungalow, Demure, Effervescent, Eloquence, Felicity, Glamour, Labyrinthine, Onomatopoeia, Ripple.

Di Amerika, staf editorial American Heritage Dictionaries menyenaraikan "100Words to Make You Sound Smart". Dalam senarai itu terdapat kata-kata berikut:

Smart Nouns: Acrimony, Anomaly, Dichotomy, Euphemism, Harbinger, Misnomer, Non Sequitur , Panacea, Paradox, Rhetoric, Sycophant .
Smart Adjectives: Caustic, Esoteric, Fastidious, Glib, Gregarious, Idiosyncratic , Infinitesimal.

Bagaimana kalau kita senaraikan Kata-kata Terindah Dalam Bahasa Melayu supaya dapat dijadikan panduan kepada penulis? Persoalannya: Apakah yang menjadikan sesuatu kata itu indah? Mungkinkah keindahan itu dilihat pada faktor-faktor berikut:
• Ketampanan struktur
• Keanggunan bunyi
• Percikan makna
• Cetusan konsep

Dalam buku saya Strategi Bahasa: Panduan Nahu dan Retorik untuk Penulisan (dengan Mohd Saleeh Rahamad) (1998), saya cuba menyenaraikan beberapa kata yang indah. Pemilihan itu antaranya adalah berdasarkan hasil keseronokan bunyi yang berirama melalui permainan ritma atau makna yang dicetuskan yang membawa perasaan indah: Contohnya:
• Adikarya
• Jari-jamari
• Keabadian
• Bersenandung
• Seri Mersing
• Kinabatangan
• Syahdu

Apakah pilihan anda dan mengapa?

4 comments:

Unknown said...

Perkataan yang indah bagi saya terletak pada bunyi/ritmanya. Antaranya inulangan, jentayu, gurindam, purbakala, adiwarna, ainulbanat, jagatraya, dan lembayung.

Sid Ahmad Ishak said...

Terima kasih; ada tak kata yang indah pada Siti kerana cetusan maknanya atau gambaran visualnya?

Unknown said...

Kalau dari segi gambaran visual atau cetusan makna termasuklah yang telah saya sebutkan: lembayung, jentayu. Yang lain mungkin melati, kencana, pelita, kecapi, purnama, syahdu, menguning, cendekiawan, munsyi, hening dll. Banyak lagi Dr, tapi tak ingat. :)

Sid Ahmad Ishak said...

OK tu boleh masuk senarai nanti, walaupun semuanya subjektif tapi ada asasnya bagi setiap orang.