Tuesday, April 13, 2010

AUTOBIOGRAFI 10 SASTERAWAN UTARA

George Orwell pernah berkata bahawa "autobiography is only to be trusted when it reveals something disgraceful" manakala menurut Quentin Crisp, “an autobiography is an obituary in serial form with the last installment missing.”

Walau apa pun perkara negatif yang dikatakan tentang autobiografi, hakikatnya kini ia dikelompokkan sebagai bahan sumber sejarah yang sangat penting. Ini kerana terdapat banyak maklumat penting yang dapat memberi pemahaman baru daripada apa yang terkandung di dalamnya.

Sifat autobiografi yang berbentuk pendedahan dapat memaparkan sesuatu yang jauh lebih mendalam daripada laporan jurnalistik. Yang lebih penting, autobiografi dapat meneroka minda dan jiwa penulis. Dengan demikian karya-karya riwayat hidup yang ditulis dengan baik dapat memberi suatu perspektif sejarah yang segar dan dapat menghasilkan suara-suara kesusasteraan selain memberi sumbangan ke arah kesedaran budaya.

Demikianlah yang diharapkan bagi buku Seribu Satu Kenangan: Autobiografi 10 Sasterawan Utara yang disunting oleh Dr Pisol Maidin. Buku ini merupakan antologi sumbangan individu dalam bentuk pelukisan riwayat hidup yang ringkas oleh lapan orang penulis Kedah dan dua orang penulis Perlis. Penulis-penulis tersebut merupakan karyawan genre fiksyen yang tidak asing lagi dalam dunia sastera Malaysia. Walaupun terkenal, kisah hidup dan pandangan peribadi mereka tidak banyak diketahui kerana kurangnya penulisan tentang diri sendiri penulis-penulis tersebut. Dengan demikian, buku ini tentulah dapat mengisi ruang-ruang kosong yang dimaksudkan.

Empat daripada penulis dalam antologi ini dilahirkan pada tahun 1930-an manakala empat lagi lahir sama ada pada tahun 1940 atau 1941. Tulisan-tulisan mereka ternyata mengimbau sejarah dan peristiwa lebih setengah abad dahulu. Dengan demikian buku ini tentulah mempunyai nilai sebagai sumber sejarah sosial.

Dr Pisol Maidin bukan sahaja telah merangka dan menyusun dengan kemas tetapi juga telah menelitinya dengan baik sehingga berjaya menghasilkan antologi ini yang penting untuk dijadikan sumber ilham dan panduan khususnya bagi penulis-penulis muda. Bagi para pengkaji, karya ini bukan sahaja boleh dijadikan rujukan penting tentang latar belakang penulis tetapi juga tentang peristiwa, suasana dan persekitaran yang wujud semasa kehidupan penulis tersebut.

1 comment:

Anonymous said...

"I've given my memoirs far more thought than any of my marriages. You can't divorce a book." Gloria Swanson