Showing posts with label Retorik Melayu. Show all posts
Showing posts with label Retorik Melayu. Show all posts

Sunday, April 4, 2010

KATA-KATA TERINDAH DALAM BAHASA MELAYU

Yang kurik kendi, [sebenarnya "kundi'; terima kasih Siti Ezaleila kerana membetulkannya] yang indah bahasa; Tiada kata seindah bahasa.

Sejauh mana BM mempunyai kualiti keindahannya? Adakah kata-kata tertentu dalam BM dapat dianggap indah? Apakah yang menjadikan kata-kata tersebut indah?

Dalam Bahasa Inggeris, sekurang-kurangnya terdapat beberapa usaha untuk menyenaraikan kata-kata indah misalnya oleh Dr Robert Beard (100 Most Beautiful Words in English) dan sebuah British Survey yang menghasilkan 70 perkataan yang digemari. Antara kata yang tersenarai ialah: Bungalow, Demure, Effervescent, Eloquence, Felicity, Glamour, Labyrinthine, Onomatopoeia, Ripple.

Di Amerika, staf editorial American Heritage Dictionaries menyenaraikan "100Words to Make You Sound Smart". Dalam senarai itu terdapat kata-kata berikut:

Smart Nouns: Acrimony, Anomaly, Dichotomy, Euphemism, Harbinger, Misnomer, Non Sequitur , Panacea, Paradox, Rhetoric, Sycophant .
Smart Adjectives: Caustic, Esoteric, Fastidious, Glib, Gregarious, Idiosyncratic , Infinitesimal.

Bagaimana kalau kita senaraikan Kata-kata Terindah Dalam Bahasa Melayu supaya dapat dijadikan panduan kepada penulis? Persoalannya: Apakah yang menjadikan sesuatu kata itu indah? Mungkinkah keindahan itu dilihat pada faktor-faktor berikut:
• Ketampanan struktur
• Keanggunan bunyi
• Percikan makna
• Cetusan konsep

Dalam buku saya Strategi Bahasa: Panduan Nahu dan Retorik untuk Penulisan (dengan Mohd Saleeh Rahamad) (1998), saya cuba menyenaraikan beberapa kata yang indah. Pemilihan itu antaranya adalah berdasarkan hasil keseronokan bunyi yang berirama melalui permainan ritma atau makna yang dicetuskan yang membawa perasaan indah: Contohnya:
• Adikarya
• Jari-jamari
• Keabadian
• Bersenandung
• Seri Mersing
• Kinabatangan
• Syahdu

Apakah pilihan anda dan mengapa?