Monday, December 21, 2009

HISTORIOGRAFI EPISOD NATRAH

Buku tentang Natrah karya Fatini Yaacob kini sedang dijual di pasaran. Beliau telah muncul untuk sesi tandatangan buku sepanjang minggu pertama semasa pementasan teater Natrah di Istana Budaya dari 30 November hingga 9 Disember 2009.

Beliau juga muncul untuk menandatangi buku bagi para peminat semasa majlis perkahwinan di Gombak pada 20 Disember, iaitu di rumah sdr Ahmad Azam Abdul Rahman, mantan Presiden ABIM.

Jarang sekali ada pameran buku semasa majlis perkahwinan, tetapi Sdr Ahmad Azam telah meraikan majlis perkahwinan anakandanya itu dengan tema keilmuan maka dengan itu terdapatlah acara membaca puisi, hadiah naskhah puisi, dan sesi promosi buku.

Datin Fatini sendiri amat yakin dengan apa yang dilakukannya. Dalam masa beberapa bulan memegang jawatan sebagai penulis tamu di UTM, beliau berjaya menghasilkan Natrah: Cinta, Rusuhan, Air Mata yang diterbitkan oleh Penerbit universiti tersebut.

Apabila diminta untuk mengulas draf awal manuskrip tersebut oleh Fatini, saya dengan sukacita menerimanya. Beberapa bahagian belum pernah saya baca sebelumnya dan ternyata manuskrip ini bukanlah sekadar tulisan semula daripada karya bersirinya yang awal di Dewan Masyarakat. Ternyata juga beliau mengenali hati budi Natrah dengan mendalam sekali. Sepanjang perhubungannya dengan Natrah, walaupun beliau terfitnah tetapi tidak sekali-kali ada kebencian dalam tulisannya. Dalam hal ini sebagai penulis, Datin Fatini telah berjaya memisahkan emosi dan prasangkanya terhadap watak yang dikaji.

Buku ini menjadi sebahagian penting dalam historiografi episode Natrah. Sebuah buku dalam bahasa Inggeris juga telah diterbitkan pada tahun 2009, iaitu oleh Syed Muhd Khairudin Aljunied berjudul Colonialism, Violence and Muslims in Southeast Asia: The Maria Hertogh Controversy and Its Aftermath, melalui Routledge, London.

Terbitan lebih awal yang terkenal tentang subjek ini:

  1. Tom Earnes Hughes (1980). Tangled Worlds: The Story of Maria Hertogh. Singapura: Institute of Southeast Asian Studies.
  2. Haja Maideen (2000). The Nadra Tragedy. Selangor: Pelanduk Publications.

1 comment:

norhayati said...

Buku Natrah adalah antara buku yang paling saya gemar membacanya. Ibu saya sering mengenangkan saat rusuhan berlaku dan beliau masih mengingatinya sehingga kini. Saya belum berkesempatan membaca Natrah versi Datin Fatini, ya saya akan mencarinya semasa Pesta Buku nanti untuk bekalan perjalanan yang jauh ke Italy .